Sunday, 16 April 2017

Kisah Gugur Kandungan Kedua

Assalamualaikum.

Harini genap 2 minggu lebih dari tarikh keguguran mengandung kali kedua.

Keguguran. Takde siapa yang mahukan. Takde seorang ibu pun yang berharap kandungan yang dikandung tidak boleh survive. Tiada daya upaya dari kalangan kita sebagai ibu menyangkakan kandungan yang dikandung tidak bertahan lama.

Termasuk aku.

Di sini aku nak kongsikan serba sedikit kisah kandungan kedua yang telah gugur pada 22 Mac 2017, yang aku pasti sudah selamat di sisi Allah, yang aku rasai janinku sedang bermain di taman syurga. Selamat tinggal sayang, pergilah kamu di tempat paling indah. Namanya syurga.

Aturan Allah itu baik. Mungkin pahala aku dan suami tidak banyak di dunia ini. Lalu Dia turunkan ujian yang kecil ini untuk melayakkan kami melangkah ke dalam syurgaNya yang indah. Seindah yang tidak dapat kita gambarkan.

4 Mac 2017
Harini hari Sabtu, bangun pagi macam biasa. Aku dan suami berehat-rehat memalaskan diri. Petang selepas Zohor, Redza tidur nyenyak. Letih agaknya dari pagi menahan mata. Hari yang sama, aku banyak berehat dari melakukan sebarang kerja rumah.

Dalam pada berbaring bermalas-malasan, aku seperti rasa tidak selesa. Rasa macam spentot basah seperti period. Bila aku cek, memang betul, ada sedikit lendir berwarna coklat dan sedikit darah fresh keluar sewaktu aku kencing. Ianya tidak banyak. Hanya sebesar duit syiling 50 sen. Aku tidak panik dan tidak cemas sebab aku tak rasa sakit langsung. Aku tunjukkan pada suami lantas dia ajak ke hospital. Tapi aku yakin tiada apa yang berlaku dan aku katakan pada suami tak perlu ke hospital. Aku hanya mengajaknya scan sahaja di klinik swasta biasa. Tetapi haritu aku tidak terus ke klinik. Perasaan malas mahu keluar masih menebal. Aku rasa ini salah satu simptom pregnancy keduaku ini. Lebih banyak berehat di rumah dan malas mahu lakukan semua benda termasuk keluar jalan.

Mulai dari saat itu, aku cari ilmu dan google artikel yang berkaitan keguguran. Aku ingin tahu bagaimana rasanya dan apa yang keluar jika berlalu keguguran janin. Aku baca satu demi satu sumber yang boleh dipercayai. Tiada satu pun tanda-tanda keguguran yang aku rasa setakat ini. Cuma pendarahan yang sedikit yang mana bila aku baca di website babycentre, ianya normal jika berlaku pendarahan di awal kehamilan. Sebab-sebabnya mungkin berlaku percantuman yang menyebabkan rahim mengembang dan itu puncanya darah keluar.

Hatiku sedikit lega. Aku ceritakan penjelasan artikel tersebut kepada suami. Bermaksud aku inginkan suami supaya tidak perlu risau sepertimana aku yang tidak langsung risau tentang kandunganku. Aku jelaskan jika aku merasa sakit, aku akan cepat-cepat inform padanya. Walaupun suami dah banyak kali ajak ke hospital, aku tetap dengan pendirian tidak mengapa sebab tak rasa sakit.

5 Mac - 18  Mac 2017
Bermulanya dari 4 Mac tersebut, setiap kali buang air kecil, confirm akan keluar sesuatu yang dipanggil spotting brownish. Lendir bersama warna coklat akan keluar sebesar duit 10 sen sewaktu kencing. Pada hematku ianya normal, walaupun setiap hari keluar, aku tetap seperti wanita mengandung biasa. Berbeza dulu kehamilan aku yang pertama dengan yang sekarang. Masa mengandungkan Redza, tidak pernah langsung aku mengalami pendarahan walaupun sikit. Walaupun lasak dan aktif, aku tak pernah rasa pengalaman bleeding saat mengandungkan Redza. Betul lah kata orang, lain anak lain ragamnya.

Sebenarnya, apabila setiap hari spotting brownish keluar, aku sudah sedikit gusar, hatiku seperti mengatakan janinku ini tidak survive. Tambahan aku terbaca artikel tentang penyusuan ketika hamil. Oh ye, terlupa nak bagitahu di awal penulisan yang mana aku masih menyusukan Redza Rafael sewaktu aku detect pregnant sehingga kini. Redza memang fully bf. Tak pernah lagi campur susu tepung dari hari pertama dia keluar daripada perutku. Alhamdulillah rezeki anak sulungku.

Berbalik cerita asal, artikel penyusuan mengatakan, jika ada rasa sakit sewaktu menyusukan anak dan sakit tersebut seperti contraction yang perlahan, contraction yang segan silu, atau orang melayu panggil rengat, ibu perlu stop menyusukan anak kerana khuatir akan beri kesan kepada kandungan. Artikel dari Dr Zubaidi juga mengatakan jika ada pendarahan, tidak digalakkan menyusukan anak kerana takut berlaku keguguran. Namun, aku abaikan sahaja artikel yang dibaca sebab aku rasakan artikel-artikel itu tidak pro breastfeeding. Mereka tidak berapa memihak kepada penyusuan sehingga 2 tahun. Aku juga mendapatkan pandangan 3 orang doktor berkaitan menyusu ketika mengandung, dan aku ceritakan juga setiap kali anak menyusu, akan ada sedikit rasa sakit di bahagian pangkal rahim. Sakit seperti nak period. Seperti pinggang memulas.

Walaupun nasihat ketiga-tiga doktor menyuruhku tidak teruskan penyusuan, tetapi entah kenapa, hati aku seperti yakin penyusuan tidak akan effect kandunganku kerana aku fikir "kenapa orang lain boleh tetapi aku tidak boleh?"

Ternyata aku silap.

Yang mana aku baru tahu, rahim akan mengecut jika kita menyusukan anak, dan menyebabkan perkembangan janin akan terbantut. Ianya tidak terjadi kepada semua perempun mengandung. Bergantung kepada tahap penerimaan badan setiap individu. Ada yang mengalami pendarahan tetapi tetap boleh survive. Ada yang berlaku keguguran seperti aku, dan ada juga yang langsung tiada pendarahan dan tetap boleh meneruskan penyusuan seperti biasa. Kuasa Allah menentukan segalanya. Dia yang Maha Mengetahui apa yang baik dan apa yang tidak baik.

Pada 19 Mac 2017, aku berada di Tangkak. Hari ahad ini, turn aku balik di rumah mertuaku. Pagi-pagi sewaktu kencing, apa yang keluar bukan lagi brownish, tetapi pendarahan yang berwarna fresh blood. Aku seperti tak sedap hati. Suami bergegas mengajakku ke klinik kesihatan yang berhampiran. Aku dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. Aku diarahkan untuk bermalam di hospital kerana doctor yang memeriksaku di bahagian emergency labelkan aku sebagai threaten abortion. Pada waktu ini, seperti hari-hari yang sebelumnya, aku dapat merasakan kandunganku sudah tidak dapat diselamatkan. Aku sudah redha, malah aku berdoa supaya proses untuk semua ini berakhir dengan cepat.

19 Mac 2017
Tidur di wad bersalin untuk kali ini di hospital yang sama ialah pengalaman keduaku. Yang pertama dulu sewaktu bersalinkan Redza. Malam tadi aku tak dapat tidur dengan lena. Sering kali terbangun sebab doktor shift malam kejut nak buat pemeriksaan. Selain itu, perasaan sedih sebab berpisah tidur dengan Redza juga membuatkan aku tak dapat lelapkan mata. Terlalu risau sebab Redza tak pernah tidur tanpa aku, sebab dia akan mengempeng sehingga tertidur. Aku berkali-kali pesan pada husband supaya jaga Redza baik-baik. Sedihnya aku waktu itu tak dapat ditahan sampai aku menangis teresak-esak dalam bilik air. Sayu hati. Betapa luluhnya hati bila teringat Redza menangis meraung sewaktu balik tadi.

Malam pertama warded, perut aku kena scan, doktor kata heartbeat baby dan baby dalam kantung dah tak nampak. Beberapa jam lepastu, doktor panggil semula untuk scan melalui laluan bawah pulak. Ye, pengalaman pertama ini jadikan aku serik untuk mengandung. Walaupun kamera yang digunakan tidak sakit, tetapi aku tetap trauma sebab ada sesuatu yang keras menjolok-jolok di bawah itu. Lagi-lagi bila doktor cuba mencari kantung yang semakin mengecil dan tidak nampak. Doktor akan gerakkan batang kamera tersebut ke kiri dan ke kanan untuk mencari heartbeat/janin namun tetap tiada. Aku pejamkan mata. Cuba untuk taknak tahu perbualan doktor tersebut dengan doktor lain. Perasaan malu sudah tiada, yang ada cuma perasaan mahu tahu keputusan yang final. Doktor perempuan yang merawatku akhirnya mengatakan janinku sudah tiada. Dalam erti kata lain kandungan tidak jadi. Dia memberi pilihan sama ada nak cuci atau medical termnya DILATION & CURETTAGE (D&C) atau aku mahu ianya keluar sendiri. Aku meminta izin untuk berbincang dengan suamiku terlebih dahulu. Doktor menjelaskan risiko D&C dan juga risiko keluar sendiri kepadaku. Kedua-duanya aku dengar dengan teliti. Supaya senang aku explain pada suamiku.

Malam itu juga, tepat pukul 1.30 malam, aku whatsapp suami dan tanyakan pendapat. Aku jadi takut dengan risiko D&C. Aku juga takut risiko kalau nak biarkan keluar sendiri. Akhirnya aku buat keputusan nak buat D&C. Aku nak semuanya berakhir dengan cepat. Supaya aku boleh rawat emosiku pula. Aku maklumkan pada doktor keputusanku, aku mahukan D&C, jad doktor menyuruhku berpuasa bermula pukul 4 pagi untuk proses D&C pada keesokan harinya.

20 Mac 2017
Menjadi kebiasaan, setiap pagi di hospital, waktu paling sibuk untuk semua. Sebab doktor pakar akan membuat lawatan dan pemeriksaan kepada semua pesakit. Seawal 5.30 pagi lagi aku dah bangun dan mandi. Aku sebenarnya cuak nak lakukan D&C sebab kena masuk dewan bedah, akan ada bius keseluruhan badan atau separuh badan bergantung pada permintaan pesakit. Aku dimaklumkan proses hanya memakan masa kurang setengah jam dan tidak rasa sakit langsung. Namun, perasaan cuak dan takut tetap menebal. Masa tu dah fikir bukan-bukan. Yelah, perempuan dengan overthinking berpisah tiada!

Doktor pakar datang bertanyakan keadaanku. Penuh di depan katilku doktor pakar, doktor senior, doktor junior dan doktor pelatih yang sangat  ramai. Tiba-tiba doktor pakar bertanyakan padaku, sama ada betul ke keputusan aku nak lakukan D&C, aku blur tak tahu nak jawab. Dia sebagai doktor pakar, seakan tidak galakkan aku D&C, namun dia tidak direct menyatakan seperti itu. Dia tekankan lagi risiko D&C walaupun doktor shift malam sudah jelaskan pada aku semua risiko. Aku tanyakan pendapatnya, mana satu yang terbaik, dia kata terpulang pada aku, sebab dua-duanya pun ada risiko. Cuma dia katakan yang janin aku boleh keluar sendiri memandangkan aku tiada masalah sakit lain dan tiada komplikasi. Doktor pakar juga beritahu bila-bila masa janin akan keluar cuma tidak tahu sama ada cepat atau lambat. Sebab pendarahanku semakin banyak. Tidak lagi seperti sebelum ini, yang hanya keluar sedikit sedikit dan berwarna coklat. Sekarang bleeding ku seperti period dan penuh pad yang aku pakai.

Aku call suamiku untuk bertanya pendapat, dan aku cerita lagi risiko padanya. Antaranya ialah:

1. Risiko terkena dinding rahim. Jika terkena boleh ada luka dan pendarahan. Jika tembus sehingga dinding rahim, akan ada operation lain yg lebih besar untuk jahit semula.
2. Bila dinding rahim dah luka, akan terhasil parut. Parut tu yang akan effect untuk next pregnancy seperti uri melekat dan uri menutup laluan.
3. Pendarahan yang banyak (yang ini kebanyakan operation pun boleh jadi pendarahan)
4. Bius yang diberi boleh jejaskan pernafasan jugak untuk sesetengah orang.

Tapi doktor kata, risiko ni semua, hanya 1 dalam 1000 je yang akan berlaku. So tak perlu nak risau. Tapi, lepas dah bincang sebulat suara dengan suami, aku terus decide nak cancel je D&C and nak biarkan dia keluar sendiri. Doktor pakar tu tengok balik rekod aku sebelum dia benarkan aku discharge, and katanya aku sihat serba serbi dan benarkan aku keluar wad. Sebenarnya aku happy sebab tak perlu lagi jauh dengan Redza. Tak keruan hidup aku takde Redza kat depan mata. Perasaan tinggalkan anak masa pergi kerja dengan masa warded ni memang lain macam sangat tau.

Aku discharge and dapat cuti seminggu. Bila dah nak balik, aku sempat jumpa kakak sebelah katil yang baru lepas D&C semalam. Dia tanya kenapa aku tak pilih D&C, dia kata kalau biar keluar sendiri lagi berisiko. Aku dah agak cuak masa tu. Tapi aku terfikir, yang beri kebenaran aku discharge ni doktor pakar, dia lebih tahu keadaan dan situasi kesihatan aku. Sebab dia bukan simply sesuka hati bagi aku keluar hospital kalau ada risiko mendatang. Aku tolak cepat-cepat rasa takut untuk elak dari fikir bukan-bukan.

Next entry aku akan cerita pengalaman keluar sendiri. Yang ni kena entry lain sebab entry ni dah terlalu panjang. Hehe.

Terima kasih sebab baca sampai habis.

2 comments:

  1. Salam, mcm mana janin tu keluar sndiri?.. Apa smbungan nye.. Ye..

    ReplyDelete
  2. Aah sis.. Mcmana yer.. Sy kena buat d&c sabtu ni.. Takut nyer

    ReplyDelete